Tambahan Kepada Mata Pelajaran Kesusasteraan Melayu yang Sedia Ada

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan telah menerima saranan memperkenalkan Kesusasteraan Melayu (Elektif) sebagai sebahagian daripada mata pelajaran Combined Humanities bermula pada tahun 2008 dari Menengah 3. Ini merupakan tambahan kepada mata pelajaran Kesusasteraan Melayu yang sedia ada. Usaha ini akan memberikan peluang kepada lebih ramai pelajar yang berminat dan berkebolehan untuk mempelajari kesusasteraan Melayu.

Berhubung dengan ini, cabarannya kini ialah bagaimana menjadikan pembelajaran bahasa dan sastera Melayu lebih menarik. Terus bersama Titik Tolak untuk mendapatkan perincian lanjut.

"Secara peribadi, saya rasa ia harus dilaksanakan jauh lebih lama daripada itu. Kerana semarak budaya atau sastera itu semakin menghilang sejak ia dibubarkan apabila sekolah Melayu pupus. Saya rasa itu satu langkah yang baik. Sekarang ini adalah masa yang cucuk sebab ia mendukung usulan pemerintah untuk menyemarakkan lagi suasana seni dan budaya di Singapura, sebagai satu pusat budaya. Walaupun kita kecil, muda, kita tidak meninggalkan aspek estetik atau kesenian itu sendiri," ungkap Cikgu Nur Hanisah Saphari, guru bahasa dan sastera Melayu, Maktab Rendah Katolik.

Selain memastikan anak didik mereka boleh berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul, para guru juga bertanggungjawab untuk terus menjadikan pembelajaran bahasa Melayu sesuatu yang menarik, bermakna dan menyeronokkan. Ini dapat dilaksanakan dengan menyediakan suasana pelajaran yang memberangsangkan dan melibatkan pelajar secara aktif dalam pembelajaran mereka.

Sewaktu berucap di Seminar Bahasa Melayu 2007, Encik Masagos Zulkifli, Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Pendidikan menyatakan bahawa peraduan-peraduan seperti bercakap petah, berbalas pantun, berbahas, penulisan dan perkhemahan bahasa yang dianjurkan oleh pertubuhan-pertubuhan, institusi ataupun di peringkat kelompok sekolah atau zon memberikan pelajar-pelajar kita peluang untuk berinteraksi menggunakan bahasa Melayu dengan rakan dan kenalan mereka dari sekolah lain dan masyarakat Melayu amnya."

Sesungguhnya, proses mempelajari bahasa Melayu tidak harus terbatas dalam kelas sahaja. Bahkan, ini harus dilakukan berterusan di luar sekolah. Oleh itu, para guru perlu mengenal pasti aktiviti-aktiviti yang boleh memanfaatkan pelajar bahasa Melayu.

Encik Mohamed Noh Daipi, Penolong Pengarah, Cawangan Bahasa dan kesusasteraan, Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan percaya bahawa bahan sastera yang baik berupaya memupuk minat para pelajar. "Penggunaaan bahan sastera juga mampu memupuk dan mengembangkan daya pemikiran para pelajar. Pelajar berpeluang untuk menggunakan informasi yang diperoleh, membuat interpretasi dan mengemukakan pendapat secara kreatif dengan menggunakan daya imaginasi, di samping belajar berkomunikasi dan bekerjasama dengan orang lain. Bahan sastera yang padat dengan aspek-aspek kemanusiaan dan kerohanian boleh menjadi wahana bagi pemupuhan nilai murni di kalangan pelajar," ujarnya.
Pelbagai kaedah digunakan untuk menerapkan minat para pelajar agar mereka seronok mempelajari bahasa dan sastera Melayu. Mereka tidak terdedah kepada ujian dan penilaian sahaja. Dalam melaksanakan program yang berkesan, pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan kegiatan bahasa, sastera dan budaya giat dijalankan.

Apakah kita akan melahirkan lebih ramai pelajar yang berciri arif budiman di masa depan?

Sumber : http://www.rsi.sg