Asal- Usul Kesenian Dabus


Pengenalan
Dabus pada asalnya bukanlah sebuah tarian tetapi merupakan sejenis seni mempertahankan diri. Oleh itu, konsep dabus ialah kepahlawan. Justeru itu, permainan dabus menuntut kecerdasan, ketangkasan, keperwiraan dan keceriaan ketika bermain.

Dabus adalah salah satu tarian tradisional di Perak yang mampu bertahan sejak lebih 300 tahun lalu. Sekalipun negara menerima arus perubahan di samping kepesatan pengaruh budaya barat, namun sehingga kini ia masih diminati dan dihayati oleh para pencinta seni.

Biarpun dabus masih belum boleh dikategorikan sebagai seni popular di kalangan rakyat, namun kegiatannya yang secara terus digerakkan oleh pewaris kesenian itu sejak dulu lagi mampu mencatatkan sejarahnya tersendiri sebagai salah satu tarian tradisional yang terunggul di negeri Perak.

Identiti Dabus
Setiap penari atau pemain dabus mesti menggunakan sejenis besi tajam yang dipanggil `anak dabus`. Penggunaan anak dabus ini ialah untuk memperlihatkan keistimewaan tarian tersebut. Tanpa penggunaan anak dabus, akan hilanglah identiti dabus.

Permainan dabus yang asli tidak sahaja para pemain atau penari menggunakan anak dabus sebaliknya mereka akan menggunakan beberapa senjata tajam yang lain untuk mempamerkan kehebatan permainan dabus. Selain anak dabus, antara senjata tajam yang lain yang digunakan dalam persembahan dabus ialah keris, pisau belati, kapak, batu giling dan tali.

Asal Usul
Menurut cerita-cerita mulut, kisah bermula sejak zaman pembinaan Islam, semasa Khalifah Zainal Abidin anak kepada Saidina Hassan dan cucu kepada Saidina Ali. Dalam masa itu telah berlaku perselisihan antara dua puak hingga menyebabkan berlaku peperangan.

Maka dalam usaha menakutkan pihak lawannya kumpulan yang menyokong Saidina Ali mencipta tarian dabus. Kononnya di zaman itu, penari-penari boleh meniti di atas pedang, dihimput dengan batu, meranduk dalam api, digigit ular bisa dan melukakan anggota badan dengn alat dabus. Segala luka dan rasa sakit akan pulih seperti sediakala setelah dijampi oleh ketua kumpulan.

Mengikut penyelidikan yang pernah dibuat oleh pihak tertentu, pada masa ini masih terdapat peminat-peminat tarian dabus di Semenanjung Malaysia. Ia dapat dikesan dalam masyarakat di Daerah Lumut, Pasir Panjang Laut, Setiawan, Teluk Intan, Perak Darul Ridzuan. Tarian ini dipercayai telah wujud di negeri Perak lebih 200 tahun yang lampau.

Apa yang jelas, tarian ini merupakan gabungan tiga jenis kesenian tradisi yaitu nyanyian, tarian dan pertunjukan tentang kebolehan serta keberanian penari-penari menggunakan alat atau senjata tajam yang dicecahkan kepada anggota tubuhnya sendiri.

Sejarah Dabus di Perak
Pada tahun sekitar 1600, dua orang pedagang dari Batu Bahara, Sumatera yang cuma dikenali sebagai Nakhoda Lembang dan Nakhoda Topah datang merantau ke Perak dan memulakan penghidupan di Telaga Nenas, Sitiawan. Ketika berada di situ, kedua-dua nakhoda tersebut berehat dan berlatih bermain dabus pada waktu malam sehingga menarik perhatian penduduk setempat dan terus berkembang di situ.

Pedagang Batu Bahara ini tidak tinggal setempat. Mereka kemudian bermudik lagi lalu ke Pasir Panjang Laut dan mengembangkan dabus di situ. Kemudian mereka menghilir lagi sampai ke Bagan Datoh. Di situ juga dabus diperkembangkan. Selepas Bagan Datoh, mereka merantau lagi sehingga ke Kuala Selangor. Di Kuala Selangor permainan dabus terus bertapak kukuh sehingga kini langsung diangkat oleh Majlis Kebudayaan Selangor sebagai tarian tradisional untuk negeri itu.

1. Memerangi Belanda di Pulau Pangkor
Semasa kompeni menguasai perusahaan biji timah di Perak pada sekitar 1680-1690, mereka telah membina sebuah loji di Teluk Gedung, Pulau Pangkor. Pada masa yang sama, terdapat seorang pahlawan Melayu bergelar Panglima Kulop Mentok yang sangat membenci penjajahan Belanda.

Beliau dikatakan berketurunan kerabat di Raja Bugis dari Sulawesi. Panglima Kulop yang tidak tahan dengan kekejaman Belanda telah membawa diri bersama-sama pengikutnya langsung membuat penempatan di Pulau Sembilan.

Oleh kerana kebenciannya terhadap Belanda, beliau telah memerangi kapal-kapal dagang milik penjajah itu di samping menyerang loji atau Kota Belanda di Teluk Gedung. Orang Belanda menggelarnya lanun. Panglima Kulop bersama pengikutnya diberitakan telah menggunakan ilmu kebatinan dabus ketika menyerang dan bertempur dengan askar Belanda. Ramai askar Belanda yang terkorban. Oleh kerana tidak tahan dengan ancaman Panglima Kulop, Belanda telah lari meninggalkan lojinya di Teluk Gedung.

2. Inggeris Memperalatkan Orang Dabus
Pada tahun 1826, kerajaan Perak telah meminjamkan kawasan Pulau Pangkor kepada Inggeris, manakala daerah Manjung (dulu Dinding) turut diserahkan kepada penjajah Barat itu pada tahun 1874.

Ketika menggunakan perairan di situ untuk tujuan kepentingan perdagangan, pemerintah British di Pulau Pinang menghadapi ancaman daripada sekumpulan lanun yang megganas di perairan Selat Melaka yang diketuai oleh seorang Panglima yang digelar Daeng Mentanu. Kompeni Inggeris lalu meminta bantuan orang-orang dabus di Manjung untuk memerangi lanun berkenaan. Seramai 100 orang pahlawan dabus dikatakan berjaya menghapuskan lanun-lanun tersebut.

Persiapan Sebelum Persembahan
Sesebuah kumpulan dabus yang asal terdiri daripada lebih kurang 22 orang termasuk pemain alat muzik dan penari. Dalam kumpulan tersebut terdapat seorang ketua dipanggil khalifah. Khalifah inilah orang yang bertanggungjawab memelihara keselamatan para pemain daripada sebarang gangguan yang boleh mencacatkan persembahan pada hari itu. Sebelum persembahan dimulakan khalifah akan merasapi dan merenjis air yang sudah dijampi ke seluruh pentas, para pemain, pemuzik dan anak dabus.

Tujuannya adalah untuk mengelakkan daripada gangguan makhluk halus atau perbuatan orang nakal yang menguji kekebalan para pemain. Selain daripada itu, khalifah juga akan bertindak memulihkan penari yang tidak sedarkan diri dan luka akibat daripada menikam lengan dengan anak dabus atau keris.

Dalam permainan dabus, terdapat beberapa pantang larang yang harus dipatuhi. Pertamanya, tempat bermain hendaklah bersih, tubuh badan pemain juga hendaklah suci. Para pemain sama ada pemuzik dan penari ditegah daripada mencarut, mengeluarkan kata-kata lucah mahupun bermusuhan.

Anak dabus pula hendaklah dijaga sesempurnanya. Anak dabus tidak boleh dilangkah, malah perlu dijauhkan daripada mencucuk ke tanah. Selain itu, orang luar yang bukan pemain dabus dilarang menyentuh semua peralatan permainan dabus. Melanggar pantang larang ini akan mengundang perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Persembahan
Permainan dabus akan bermula apabila alat-alat muzik dipalu dan lagu-lagu yang dipetik daripada kitab berzanji dan marhaban dinyanyian. Nyanyian dalam persembahan dabus ini mempunyai sekali hadi (korus) dan sekali jawab. Hadi biasanya dipetik daripada kitab berzanji dan jawabnya pula rekaan sendiri di dalam Bahasa Kebangsaan seperti memuji kecantikan Negara Malaysia, kecantikan seorang perempuan, puji-pujian, nasihat dan sebagainya. Hadi pertama ialah Tanagal dan jawabnya Muradiseng, hadi kedua Fa-ohesan dan jawabnya Allahummasalli. Sebahagian daripada contoh lagu yang diampaikan dalam persembahan dabus ialah :

Mu ra di seng Allah mu ra di seng
Kama la izin Allah mura … di
Mura di yah Allah mura di yah
Kama la izin Allah mura .….di

Terdapat dua lagu dalam zikir Bahasa Arab. Tetapi kini, zikir itu telah diubahsuai ke dalam Bahasa Kebangsaan. Zikir dabus sama ada dalam Bahasa Arab mahupun Bahasa Kebangsaan semuanya memuja dan memuji kebesaran Allah serta junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Salah satu senikata zikir dabus yang biasa disampaikan dalam persembahan dabus ialah:

Besi tua besi muda
Besi datang daripada Allah
Hendak makan sifat Muhammad
Takut ditimpa si kalammullah
Hullillah haillallah
Nabi Muhammad pesuruh Allah
Ingat semuanya kepada Allah
Bukannya salah permainan ini
Turun temurun semulajadi
Luar dan dalam semuanya diisi

Para penari akan keluar dan menghormati penonton sebelum memulakan tarian. Biasanya penari akan keluar berpasangan untuk menari. Sepasang di sini, tidak semestinya terdiri daripada seorang lelaki, seorang perempuan. Sepasang di sini bermaksud berdua, mungkin kedua-dua penari lelaki atau perempuan.

Gerak langkah tarian ini ada tiga jenis yang dinamakan `susun sireh`, `ayam tajak`, dan `helang sewah`. Susunan langkah adalah mengikut pilihan ahli-ahli tari, tetapi biasanya dimulai dengan susun sireh. Langkah tari dimulakan dengan gerak tertentu dengan melangkah ke hadapan tiga kali, kemudian duduk dan sembah, selepas iti barulah tarian seluruhnya dipersembahkan. Setiap seorang penari akan memegang sepasang buah dabus sambil menari.

Gerak tari adalah mengikut irama lagu dan nyanyian. Seorang penari akan keluar menari dan setelah selesai peranannya dia akan diganti oleh penari yang lain pula, begitulah bergilir-gilir sehingga tarian tamat. Lazimnya, setiap lagu memakan masa kira-kira sepuluh minit.

Keistimewaan dan kelainan tarian dabus dengan tarian-tarian tradisi yang lain ialah penggunaan senjata tajam. Apabila tarian mula rancak, penari-penari mencucuk-cucukan anak dabus yang dipegang ke lengan mereka. Perbuatan ini kononnya dilakukan ketika si penari dalam keadaan tidak sedarkan diri dan simbolik kepada persembahan dabus itu sendiri yang lebih kepada persembahan kepahlawanan. Selain daripada itu, ada pula yang melakukan perbuatan melambungkan batu giling dan ditahan dengan paha. Tindakan para penari ini pastinya akan mencederakan mereka, tetapi apabila selesai persembahan, mereka yang cedara akan dipulihkan oleh khalifah dalam kumpulan tersebut.

Pakaian
Mengenai pakaian pula, ia bergantung kepada ketua pasukan untuk menentukan warna dan jenis pilihan pakaian ahlinya. Tetapi lazimnya bagi kanak-kanak, mereka memakai pakaian melayu berwarna hijau pucuk pisang manakala penari dewasa pula mereka memakai pakaian melayu yang lengkap dan berwarna hitam yang melambangkan kepahlawanan.

Penutup
Dabus pada zahirnya bukanlah sebuah tarian bercorak hiburan semata-mata. Tetapi peranan dan sumbangannya di dalam mempertahankan kedaulatan dan mengangkat martabat bangsa adalah cukup besar dan bermakna sekali bagi negeri Perak khususnya.

Diterbitkan oleh:
Cawangan Dokumentasi dan Penerbitan
Bahagian Pembangunan Kebudayaan dan kesenian
Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. 2003

Sumber : www.heritage.gov
Photo : http://nasron.files.wordpress.com